KUALA LUMPUR - Sudah sekian lama bersabar, akhirnya wanita ini meluahkan juga rasa kekesalan di hati dek tindakan seorang penduduk di kawasan kejiranan yang memarahi adik lelakinya (autism - lemah dalam pembelajaran) kerana melaungkan azan di surau, yang dianggap tidak sah.
Hati ahli keluarga mana yang tidak terguris dengan adanya individu berkenaan, sedangkan dia dan semua penduduk kampung sudah kenal serta faham bahawa Syafiq, 25, adalah anak istimewa.
Salahke anak istimewa laungkan azan walaupun salah? Tetapi dia mencuba dari yang cukup sifat akal fikirannya buat tak tahu sahaja bila tiba waktu, even bilal tak ada nak mengazankan.
Nama pun anak istimewa, pakcik. Dia tak dihisab malah ada pass free saja ke syurga firdausi. Setitik air mata ibu saya gugur, kami adik-beradik memang tak redha! Mungkin ini bahagian kami sekeluarga, inshaAllah bahagian pakcik kita tak tahu apa Allah SWT nak bagi. Semoga Allah SWT merahmati keluarga pakcik.
Kami sentiasa mendoakan pakcik akan dikurniakan cucu istimewa seperti adik kami supaya pakcik dapat menghayati betapa besarnya pengorbanan ibu menjaga anak istimewa ini.
Disuruhkan kami kurung dia di rumah. Mana akal fikiran pakcik ye? Takkan kami nak rantai kaki tangan dia? Dia juga manusia, perlu bergaul. Nanti bila kami semua dah tiada, macam mana dia nak survive?
Dulu bagi alasan sembahyang dia tidak sah, tak boleh campur saf dengan yang lain kononnya solat lain-lain pun jadi tak sah. Allahuakbar! Puas sudah kami bersabar, dari adik kecil sampai sekarang orang yang sama dengan pelbagai complaint.
Apa yang sebenarnya pakcik nak pun kami tak faham. Sekali lagi kami memohon maaf kepada seluruh penduduk Jalan Enggang. Ini permintan pakcik itu yang menyuruh ibu dan ayah mohon maaf secara terbuka kepada semua penduduk Keramat.
Baiklah pakcik, saya post di sini sebab ramai juga penduduk Keramat dalam friendlist saya ini. Jika laungan azan adik saya itu mengganggu atau ada pihak yang berasa kurang selesa, inshaAllah kami cuba perbetulkan dan berharap perkara ini tidak berulang lagi.
Saya pasti Syafiq berniat baik dan bukan nak mempermainkan laungan azan itu. Diharap anda semua dapat memaafkan dan mendoakan yang baik-baik untuk adik istimewa saya ini.
Tulis Gee Fauzie di Facebooknya 24 Oktober lalu.
Ketika dihubungi The Reporter sebentar tadi, Gee menjelaskan dia hilang rasa hormat pada pakcik berkenaan selepas mengetahui apa yang berlaku pada adiknya, Syafiq.
"Dia sentuh adik saya kali ini. Itu yang membuatkan saya hilang rasa hormat pada dia. Dia cuma tolak adik saya, tapi tak apa sebab kami faham dia tidak mahu adik saya sambungkan lagi azan itu," katanya.
Menurut Gee, adiknya memang akan pergi ke surau setiap kali tiba waktu solat. Namun pada hari kejadian, bilal surau tiada menyebabkan adiknya menjadi gelisah.
"Setiap kali tiba waktu solat, dia memang akan berada di surau. Syafiq autism memang jenis yang mengikut rutin. Tetapi bilal surau tak datang, dia menjadi gelisah. Kami pula terlepas pandang dia, tahu-tahu dengar suara dia berkumandang.
"Kami dengar macam okey, tapi bila bahagian 'Haiyya alassola' dia ulang-ulang 10 kali sebab terlupa. Itu yang kami terus bergegas ke surau. Tengok-tengok dia dah kena marah. Adik saya dah terduduk di lantai.
"Kami peluk dia dulu sebab autism akan bertindak agresif kalau orang lain berkasar dengan dia. Dia bersifat protective. Kami terus bawa dia balik dan adik perempuan saya dah minta maaf pada semua.
"Malam itu, waktu maghrib pun kami datang lagi berjumpa dengan bilal dan meminta maaf di atas kejadian itu. Kami juga meminta bilal sampaikan permohonan maaf kami kepada jemaah.
"Kami ingat perkara ini dah selesai. Tetapi lelaki itu seolah-olah nak memanjangkan perkara ini. Sampai ayah saya dah minta maaf secara peribadi kepada dia sebab tahu dia marah sangat.
"Tetapi dia pula suruh ayah saya minta maaf kepada seluruh penduduk. Saya pun tak faham, dia sepatutnya faham keadaan Syafiq macam mana sebab kami sudah lama berjiran," katanya.
Difahamkan, Syafiq tidak mengalami sebarang masalah selepas kejadian itu. Namun apa yang menyedihkan, ibunya menangis mengenangkan apa yang berlaku. Menurut Gee, itu bukan kali pertama perkara itu berlaku.
Semoga keluarga ini diberikan kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi semua dugaan ini.
Sumber- Gee Fauzie
No comments:
Post a Comment